Blossom...

Exploring chances, introducing changes..

Wednesday, August 16, 2006

PERANAN WANITA DALAM ERA GLOBALISASI
Posted by khaulah on August 13, 2006 at 21:02:50:

Puji-pujian selama-lamanya untuk Allah,Rabb Jalil, selawat dan salam untuk Nabi Khairu Ummah, Muhammad (S.A.W). Sedikit tulisan dan pandangan dari insan yang lemah mengenai isu kita sebagai kaum hawa. Suka untuk saya memetik dari hasil kerja Puan Kamar Ainiah Kamaruzaman yang bertarikh 17 Ogos 1999 yang bertajuk ‘Peranan Wanita Agenda 2000’. Antara isi dalam hasil kertas kerja beliau ialah mengenai peranan wanita di Malaysia dalam menghadapi era globalisasi, abad ke-21 ini.

‘Tahun 2000 membuka tirai ke abad globalisasi. Polisi dan tindakan diperingkat negara terpaksa akur kepada kehendak antarabangsa yang akan dibentuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNITED NATIONS). Sebagai warga dunia, wanita Malaysia tidak boleh memencilkan atau mengasingkan diri mereka dari arus perdana tersebut kerana ianya yang akan mencorak perjuangan serta pergerakan wanita termasuk wanita Islam. Umpamanya lanjutan daripada Persidangan Wanita Sedunia kali ke tiga di Nairobi pada tahun 1989 beberapa pelan tindakan telah dihasilkan termasuk suatu Polisi Kebangsaan mengenai Wanita setelah Kerajaan Malaysia berunding dan bermesyuarah dengan pertubuhan-pertubuhan wanita. Pelan-pelan susulan berkaitan wanita kemudiannya diasaskan kepada rumusan tersebut.’

Selain itu, kita juga perlu peka kepada isu sekularisme yang telah sejak dari dahulu lagi sebati dalam pemerintahan negara kita baik dari sistem pentadbirannya mahu pun dari segi pemikiran rakyat Malaysia sendiri. Peperangan fikiran atau pun ‘ghazwatul fikr’ yang menular sahingga menjadi barah yang serius di kalangan kita harus diubati segera sebelum ia merebak dan sukar untuk diubati lagi. Sekali lagi saya memetik hasil kertas kerja Puan Kamar Ainiah yang menekankan betapa pentingnya peranan wanita terutama di Malaysia.

‘Manakala Persidangan Wanita Sedunia yang keempat di Beijing menyaksikan pertembungan di antara kumpulan beragama dan puak sekular. Isu-isu yang ditimbulkan di persidangan itu sangat bagus seperti soal kesihatan, undang-undang yang lebih adil, keganasan rumahtangga tetapi isu-isu ini dimendungkan dengan beberapa interpretasi yang bukan sahaja bercanggah dengan Islam tetapi juga dengan ajaran dan nilai agama sejagat. Misalnya bahawa konsep perkahwinan turut melibatkan dua insan sejenis, bahawa orang dewasa berhak dan bebas mengadakan seks secara persetujuan, bahawa wanita mempunyai hak mutlak ke atas diri mereka termasuk menggugurkan kandungan. Perwakilan wanita Islam, Christian (Holy See) dan wanita konservatif memberi tentangan hebat namun oleh kerana mereka minoriti interpretasi yang diberi puak liberal dan moden diterima persidangan.

Pengalaman di Beijing memberi pengajaran kepada kita terutama kepada aktivis dan pejuang wanita Islam bahawa mereka mempunyai peranan yang sangat penting untuk turut serta dalam mesyuarat serta persidangan seumpamanya. Mereka semestinya hadhir untuk menentang arus yang bercanggah dengan nilai-nilai agama dan menyuarakan prinsip yang murni secara lantang. Sekiranya wanita Islam tidak tampil ke hadapan dan melibatkan diri mereka dikhuatiri aktiviti dan perkembangan arus dunia tersebut akan melanda negara kita dan ummat Islam secara keseluruhannya.

‘Nah! Lihatlah wahai kaum hawa. Amat banyak sebenarnya peranan dan tugas kita tambahan pula dalam era yang semakin mencabar ini. Sudah acap kali kita didedahkan dengan isu penderaan wanita, isu keganasan rumah tangga,isu rogol dan pencabulan dan berbagai-bagai lagi. Apakah tindakan kita? Hanya melihat dan berdoa sahaja? Seperti yang ditegaskan oleh Puan Kamar Ainiah, wanita Islam perlu berani untuk tampil ke hadapan membela kaum wanita melalui jalan yang betul dan mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh syara’.

‘Dengan demikian Peranan Wanita Agenda 2000 hendaklah berpaksikan ke atas suatu dunia yang tidak mengenal sempadan – a borderless world. Menerusi globalisasi, dunia sedang membangun dengan pesatnya dalam semua aspek membawa bersamanya berbagai perkembangan yang positif dan juga yang negatif.

Antara yang negatif adalah pergerakan wanita sebagai pelacur dari suatu negara ke negara semakin rancak dan mantap. Sindiket pelacuran dan organisasinya lebih tersusun rapi. Kegiatan seks dan pelacuran tidak terhad kepada wanita dewasa, ianya turut mensasarkan “the girl-child” di atas permintaan pelanggan rakus. Peralihan cita-rasa kepada kanak-kanak perempuan dan juga kanak-kanak lelaki adalah suatu trend yang amat membingungkan dan membimbangkan. Sindiket pelacuran ini tidak lagi dihadkan kepada negara-negara tradisi seperti Thailand dan Filipina. Seperti dadah dan AIDS adalah pasti gejala ini akan merebak ke negara kita sekiranya kita gagal menanganinya.

Agenda Wanita tahun 2000 seharusnya mempunyai perancangan bagi menangani masalah sosial akibat perubahan dalam masyarakat serta nilainya yang terlalu pesat dan cepat. Wujudnya tekanan (stress) yang tinggi telah mencetuskan perangai yang luar biasa dan tidak waras seperti menikam isteri bertubi-tubi sebanyak 14 kali atau melanggar isteri dengan kereta. Manifestasi perangai yang irrational ini nampaknya telah menular ke bidang politik di mana negara menyaksikan perbalahan politik disusuli dengan pembinasaan musuh politik melalui apa cara sekalipun.

Wanita tahun 2000 hendaklah mempunyai agenda ke arah melengkapkan diri mereka dari segi rohani, jasmani dan ilmu. Dunia luar beranggapan bahawa Malaysia adalah suatu negara Islam terutama apabila melihat wanitanya dari segi fizikal – bertudung rapi dan bersopan santun. Apatah lagi dari sudut undang-undang dan perlembagaan, Islam adalah ugama “rasmi”. Hakikatnya Islam kekal setakat lambang dan syiar, slogan dan semangat sahaja tanpa perisiannya. Ulama’ dan wanita sama-sama berperanan memastikan wanita dilengkapi ilmu dan pengajaran Islam yang sempurna untuk membina kekuatan jati diri mereka dalam menghadapi alaf baru yang serba mencabar. Setakat luaran sahaja tanpa substance atau pengisian ilmu bukan setakat menjejaskan kemajuan wanita malahan membahayakan survival ummat kerana di tangan wanitalah letaknya masa hadapan generasi akan datang.’

Peranan wanita telah diterangkan dengan panjang lebar oleh Puan Kamar Ainiah, salah seorang peguam di negara kita. Ingin saya tekankan sekali lagi bahawa peranan wanita amat besar memandangkan di akhir zaman ini, wanita merupakan kaum majoriti dan mendominasi populasi dunia. Adakah isu wanita perlu ditangani oleh kaum Adam juga? Sekarang sudah muncul Sister In Islam (SIS) yang mendakwa kononnya membela wanita dalam mengetengahkan isu kesama rataan antara wanita dan lelaki. Adakah kita ingin membiarkan golongan yang memperjuangkan feminisme ini menjuarai kita dalam setiap tindakan dan keputusan mereka? Ketahuilah bahawa mereka hanya berjuang dengan lojik akal semata-mata tanpa mengambil hukum dari nas yang sahih. Wahai wanita Islam, buktikan kepada dunia bahawa anda boleh! Jadikan SIS dan sekutu-sekutunya sebagai mad’u kita dan kita ubah SIS kepada Sister yang betul-betul mengambil Islam sebagai Ad-Deen yang syumul. Adakah anda ingin melihat akan munculnya Aminah Wadut yang kedua? Think about it!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home